Alhamdulillah semua selamat. Takziah kepada Abang Syahrin dan Kak Zai. Semoga perkara ini tidak akan berulang kembali.
Bernama.
Empat lelaki dan tiga wanita warga asing telah ditahan apabila polis menyerbu dua buah rumah di Kampung Semangat, Tampoi dan Taman Mawar, Pasir Gudang yang dipercayai menjadi tempat persembunyian lima penjenayah yang ditembak mati selepas merompak rumah anggota exco Pemuda Umno, ustaz Syahrin Mohd Jamaluddin, Rabu.
Mereka yang berusia antara 20 dan 48 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai anggota kumpulan pecah rumah "Geng Bonding".
Dalam serbuan yang dilakukan pada 4.45 pagi itu, polis menemui satu beg berisi pelbagai peralatan memecah masuk rumah di rumah yang pertama.
"Kita mendapati mereka ini sekumpulan penjenayah yang disyaki melakukan 22 kes samun secara ganas dan kejam di Kota Tinggi, Simpang Renggam dan Johor Baharu sejak Januari lalu," kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif pada satu sidang akhbar di sini petang ini.
Katanya penjenayah terbabit bukan sahaja mencederakan dan mengikat mangsa mereka sebelum merampas barang-barang, mereka juga disyaki merogol mangsa mereka.
Lima penjenayah warga asing berusia 20-an mati ditembak polis pada 3.45 pagi tadi selepas mereka cuba menyerang polis dengan sepucuk pistol jenis Colt Super, tiga bilah parang dan dua bilah pisau.
Mereka dikesan polis di susur keluar Jalan Seelong ke Lebuh Raya Pasir Gudang menaiki kereta milik Syahrin selepas menyamun di rumahnya di Kampung Sinaran Baru, Kempas, pada 2 oagi tadi. Syahrin adalah juga setiausaha politik kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Polis menjumpai pemain DVD, dua utas gelang emas, tiga telefon bimbit, tujuh jam tangan, empat bentuk cincin, wang tunai RM1,146, dua thumbdrive dan beberapa barangan perhiasan diri.
Isteri Syahrin, Huzaimah Yahya, 33, telah diikat penjenayah menggunakan tali leher manakala tiga anak kecilnya sedang nyenyak tidur.
Huzaimah melepaskan dirinya selepas penjenayah beredar dan pergi ke rumah bapa mentuanya untuk mendapatkan bantuan. Syahrin, yang ketika itu berada di Putrajaya, kemudian bergegas pulang.
Bernama.




0 comments:
Post a Comment